Bunyinya seakan-akan kisah peperangan pada Khilafah Uthmaniyyah… tapi apa yang saya maksudkan di sini adalah tentang penulisan al-Quran al-Karim – saya khususkan di alam siber ini…
Sudah menjadi kewajipan kita umat Islam menjaga kesucian al-Quran, penjagaan tersebut telah juga dijanjikan oleh Allah s.w.t. di dalam surah al-Hijr ayat 9. Firman Allah s.w.t.:
![]()
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah jua yang menjaganya”.
Penjagaan yang dimaksudkan dari ayat di atas, bukan sahaja terbatas pada hafazan di dada semata-mata, malah mencakupi segala kemungkinan yang ada mengikut peredaran masa. Jika di zaman Rasulullah s.a.w. dan juga Sahabat r.a., penjagaan hanya berlaku pada dua keadaan sahaja, iaitu di dalam dada dan penulisan. Pada hari ini ianya telah berubah, al-Quran di hafaz, ditulis, dirakam/audio, malah didigitalkan dalam berbagai bentuk dan medium lagi. Sudah terlalu mustahil untuk musuh-musuh Islam mengubah pinda apalagi untuk menghapuskannya bersesuaian dengan janji dari Tuhan yang Maha Bijaksana dan kemajuan yang dimiliki manusia.
Apa yang ingin saya bawakan, mungkin berkaitan dengan kewajipan, peraturan yang seharusnya difahami dan diamali oleh kita sebagai penulis atau pendakwah agama di alam siber ini. Satu masa dahulu penerbitan buku agama di negara kita amat tidak menjaga kaedah dan tatacara penulisan teks al-Quran, bukan sahaja melanggar kaedah antara Qiyasi dan Istilahi, malang sekali ianya ditulis dengan ejaan Roman atau Rumi.
Pada tahun 1986, kerajaan Malaysia telah menggubal satu peruntukan undang-undang yang dikenali dengan “Akta 326-Pencetakan Teks al-Quran 1986″ yang dikawalselia oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran, di mana mengandungi sebanyak 25 seksyen yang merangkumi peruntukan mengenai pengurusan, penguatkuasaan, bidangkuasa dan pengecualian. Alhamdulillah, selepas itu dari masa ke semasa, para penulis dan penerbit buku-buku agama telah mengikuti garis panduan/akta tersebut di dalam penyiaran mereka.
Pada pemahaman saya juga, kita sebagai ‘pendakwah online’ juga terikat dengan akta tersebut di mana terdapat satu klausa dalam Akta 326 yang berbunyi: “Antara peranan LPPPQ ialah meneliti dan memperakui kesahihan teks al-Quran yang dikemukakan untuk tujuan jualan, edaran atau terbitan oleh mana-mana orang di negara ini”. Kita sepatutnya tidak bebas atau sesuka hati menukarkan sesuatu teks Arab al-Quran dengan ejaan Roman yang jelas sekali boleh mengubah makna/maksud/huruf/kalimah tersebut di dalam penerbitan kita. Mana mungkin kita boleh membezakan antara sesuatu huruf yang sama pada ejaan Romannya, tetapi jelas berlawan pada ejaan Arabnya.
Mendukacitakan sekali, seperti apa yang dapat saya lihat sepanjang saya menerokai berbagai-bagai bentuk laman web, blog, e-Book dan sebagainya di internet ini, rata-rata masih lagi belum sensitif tentang perkara ini. Banyak sekali dengan terang dan jelas teks-teks al-Quran ditulis dengan ejaan Roman. Saya harap pembaca akan faham kerana saya teramat-amat sensitif tentang perkara ini dan tidak sanggup walaupun dengan hanya memberikan contoh, kerana pada saya, ianya tetap tertulis dan terpapar. Dan saya sendiri tidak pasti, adakah salah penguasa yang kurang memberi kesedaran kepada penyiar atau mereka sendiri mengikut naluri sesuka hati, tanpa sebarang rasa ragu, kesal dan bersalah ianya terus berlaku dan berlaku. Dan seandainya tiada sebarang akta pun yang menggariskannya, kita sebenarnya masih lagi terikat dengan kewajipan kita sebagai penjaga amanah-Nya. Bahkan para ulama’ sendiri dari berbagai zaman hanya berhujjah akan hukum penulisan al-Quran sama ada dalam bentuk Qiyasi atau Istilahi sahaja dan selama mana ianya tertulis dengan kalimah Arab. Selain dari itu sudah pasti salah dan tidak harus dilakukan sama sekali!…
Kepada penyiar dan penulis sekelian, apa yang saya harapkan, sama-samalah kita menjaga kesucian dan kemuliaan Kalam Ilahi ini. Mungkin atas alasan sesetengah pihak, sistem/perisian Arab amat sukar dipelajari dan diperolehi. Itu bukanlah alasan yang kukuh untuk kita menodai kemurniaan bentuk penulisannya. Saya teringat kata-kata Zaid bin Thabit, sewaktu beliau di amanahkan oleh Saidina Abu Bakr r.a. untuk melaksanakan pengumpulan dan penulisan al-Quran, di mana beliau berkata: “Demi Allah! Jika mereka membebankan daku dengan tugas untuk memindahkan sebuah bukit sekalipun, tidakkan ku terasa lebih berat dari tugas untuk mengumpulkan (menulis) al-Quran ini”. Kita bagaimana?
Salam. Waa..skrg us dah tak bz ke? artikel pon nampak mantap jer..bila lah pulak ana nak menulis ni..teringin jugak nak menyumbang..
Terima kasih yang banyak sekali.
asrul…
busy tu memang, selama mana boleh diluangkan utk equranic, insya Allah akan diutamakan… lagipun masih lagi kurang bahan-bahan di dalamnya…
ibnu Ali…
kesucian al-Quran; dalam segala bentuknya…
salam. us sila kunjungi blog baru ana http://innerinspiration.wordpress.com
green/islam [ history ]
green/islam