Selain dari sifat al-Quran yang memberi petunjuk dan panduan di dalam kehidupan manusia secara spiritual, ia juga merupakan satu kitab yang bersifat memberi latihan dan disiplin secara fizikal. Malah maksud dari kalimah “al-Quran” sendiri adalah “Bacaan”, bererti satu kitab yang bukan sahaja perlu difahami maksud, perintah berupa suruhan, larangan dan sebagainya, malah dibaca, seterusnya dijadikan bacaannya sebagai amalan, di dalam mahupun di luar sembahyang. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Isra’ ayat 9:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat lurus (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”
Pengabdian manusia kepada sang pencipta bukan terbatas kepada kepercayaan di dalam diri sahaja, bahkan “mengerjakan amal-amal soleh” seperti yang digambarkan oleh ayat di atas juga merujuk kepada latihan dan disiplin secara fizikal, justeru amalan bacaan al-Quran adalah merupakan salah satu ibadah yang amat dituntut oleh agama seperti yang digambarkan sejarah di mana Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh Abdullah bin Abbas membaca dan mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu. Rasulullah s.a.w. bersabda: اقرأوا القرءان فإنه يأتى يوم القيامة شفيعا لأصحابه yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya”. Bermula dari sini dapatlah kita fahami tentang betapa pentingnya amalan bacaan al-Quran di dalam diri setiap individu. Para sahabat r.a. dan juga salaf dan khalaf, mereka sentiasa memperbanyakkan bacaan al-Quran di dalam kehidupan mereka sehingga menjadikan khatam al-Quran sebagai salah satu amalan yang wajib dilakukan. Mungkin kita akan terperanjat dan kehairanan dengan kisah kehidupan mereka, kerana ada di antara mereka yang dapat mengkhatamkan al-Quran sehingga 2 atau 3 kali dalam sehari!… Namun itulah hakikat dan perbandingan, betapa mulia dan jauhnya pengabdian mereka berbanding kita!…
Di antara sahabat yang sempat mengkhatamkan sekali habis di waktu malam dan siang adalah Saidina Uthman bin Affan r.a., Tamim al-Dari, Sa’id bin Jubair, Mujahid dan lain-lain. Di antara yang mengkhatamkan tiga kali ialah Sulaim bin ‘Itr r.a. seorang qadhi Mesir di masa Khilafah Mu’awiyah r.a. Malah Abu Bakr bin Abu Daud juga meriwayatkan bahawa Sulaim mengkhatamkan pada satu malam sebanyak tiga kali. Manakala Umar al-Kindi di dalam kitabnya mengenai ‘Qadhi-qadhi Mesir’ juga meriwayatkan bahawa dia mengkhatamkan al-Quran pada satu malam sebanyak empat kali. Ibnu Abu Daud juga meriwayatkan tentang kehidupan golongan salaf r.a. yang menjadikan khatam al-Quran sebagai aturan hidup yang wajib di mana kebanyakan mereka mengkhatamkan al-Quran setiap dua bulan sekali, ada yang khatam pada setiap sepuluh hari, ada juga setiap lapan, tujuh sehinggalah kepada tiap-tiap hari.
Berpandukan amalan para sahabat dan juga salaf al-Salih di atas, segolongan ulama’ ada juga menyatakan bahawa hak seseorang individu (mengkhatamkan al-Quran) terhadap dirinya sendiri adalah sebanyak dua kali pada setiap tahun!… Malah jika dibandingkan dengan golongan terdahulu, hitungan sebanyak dua kali setahun sebenarnya bukanlah jumlah yang terlalu mustahil untuk kita lakukan!…
Marilah kita lihat ke dalam diri, berapa kalikah pernah kita tamatkan bacaan al-Quran seumur hidup kita. Mungkin ada yang pernah khatam hanya ketika di sekolah rendah sahaja, mungkin ada juga yang sempat berguru dan beberapa kali mengkhatamkannya, atau mungkinkah ada di antara kita yang tidak pernah walaupun sekali di dalam hidupnya sempat mengkhatamkannya!?… نعوذ بالله من ذلك
Seperti yang dinyatakan di atas, bacaan al-Quran adalah salah satu ibadah yang memerlukan kepada disiplin spiritual secara amnya dan juga disiplin fizikal secara khususnya. Kita seharusnya pandai membahagikan masa di dalam kesibukan kerja dan dunia seharian untuk menyediakan bekal yang berupa ‘pemberi syafaat’ di akhirat kelak. Malah jika dihitung, kita sebenarnya hanya perlu ‘meluangkan’ masa tidak sampai setengah jam pun atau membaca sebanyak dua helaian sahaja untuk mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali pada setiap tahun. Apakah lagi alasan untuk kita tidak dapat membacanya dengan hanya waktu dan helaian sekadar itu?!…
Khatam al-Quran merupakan sunnah perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w.. Sudah menjadi amalan Baginda s.a.w. menghadap Saidina Jibril a.s. membaca, menyemak seterusnya mengkhatamkan al-Quran sekali setiap tahun pada bulan Ramadhan, malah pada tahun kewafatannya, Baginda s.a.w. sempat mengkhatamkannya sebanyak dua kali. Begitulah yang diajarkan Rasulullah kepada para sahabat dan juga umatnya.
Kita harus melakukannya, membudayakannya dan mengajak umat sekeliling kita turut serta bersama melakukan ibadah ini. Selama mana kita tahu tentang betapa besar ’syafaatnya’ kepada kita dan juga selama mana kita tahu betapa panasnya api siksaan-Nya nanti.
tahniah ..
kalau dpt buat artikel yg ringkas dan mudah dibaca sekali imbas gitu…
insya Allah n terima kasih