logo

Khatam al-Quran (2)

logo

KONSEP DAN PENGAMALAN

Pada artikel yang lalu telah diterangkan tentang pengamalan khatam al-Quran yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w., sahabat, tabi’in dan juga para ulama’. Kali ini saya terpanggil untuk menerangkan tentang konsep tersebut dan pengamalannya di kalangan umat Islam di alam Melayu ini, khususnya di Malaysia.

Rasulullah s.a.w. mengajarkan para sahabat tentang betapa pentingnya bacaan al-Quran, memperbanyakkan bacaanya, sehinggakan di dalam solat, mereka sempat menghabiskan dua surah al-Baqarah dan juga ali-’Imran (menyamai 4 juzuk!). Apa lagi di luar solat di waktu siang dan malam… Mereka membaca dari awal sehingga akhir, dan begitulah yang dilakukan.

Perlu diketahui juga, para sahabat r.a. sebilangan mereka menghadapi kesulitan menghafaz di peringkat awal penurunan al-Quran, di mana turunnya sesuatu ayat di dalam sesuatu surah adalah tidak sama, dengan erti kata lain sebagai contoh, surah al-Baqarah tidaklah turun sekali gus, bermula ayat 1 hingga 286, penurunannya adalah tidak sama antara satu ayat dengan ayat yang lain. Bahkan ayat yang terakhir sekali turunnya adalah satu ayat dari surah al-Baqarah. Di sepanjang bacaan dan hafazan, mereka sentiasa di arah supaya meletakkan ayat yang baru diturunkan di dalam surah dan ayat yang tertentu, belum lagi diperincikan tentang kesulitan mereka di dalam menulis dan juga membukukan al-Quran; namun dedikasi, kepatuhan dan ketaatan kepada seruan Rasulullah s.a.w., mereka berjaya dan menjadi manusia yang terbaik dalam semua aspek kehidupan, di sepanjang zaman sehingga kini.

Sifat dan pengamalan ini turun temurun di ajar dan di amalkan sehinggalah melalui zaman kita pada hari ini. Boleh kita fahami berpandukan artikel yang lalu, khatam al-Quran adalah bermaksud, “membaca al-Quran bermula dari awal surah al-Fatihah, sehinggalah akhir surah al-Nas”.

PENGAMALANNYA DI MALAYSIA

Saya tertarik untuk mengkhususkannya di negeri kelahiran sendiri iaitu di Terengganu. Dan saya juga yakin, di sesetengah negeri mungkin juga melakukan konsep dan pengamalan yang sama. Mungkin tidak berlaku pada zaman dahulu, bahkan mutakhir ini sahaja? Sejarah yang menentukan.

Masyarakat Melayu hari ini pada hemat saya telah memberikan tanggapan yang salah tentang konsep dan pengamalan khatam al-Quran. Saya ingin berikan 2 contoh sahaja pada artikel ini;

  • Budaya gadis Melayu sebelum melalui alam perkahwinan, akan mengadakan majlis “Khatam al-Quran” sebelum bermulanya hari akad nikah. Mereka menjemput imam dan ustaz untuk memimpin majlis tersebut. Sebenarnya amalan ini adalah baik, cuma persoalannya; adakah majlis khatam itu diadakan setelah si gadis itu sendiri telah membaca dari awal sehingga akhir?!… Di dalam ceramah, kursus dan juga kuliah, sering saya utarakan dan bertanyakan kepada mereka. Dan saya dapati, hampir semua di kalangan mereka mengatakan tidak membacanya, malah yang apa yang paling malang sekali, ada juga di antara mereka yang mengakui, hanya sekali sahaja khatam al-Quran iaitu sewaktu bersekolah rendah. Apa yang mendukacitakan juga, maksud “Khatam al-Quran” itu telah disalahtafsirkan, bahkan dibudayakan, sehingga mereka benar-benar merasa lega dan berlapang hati kerana telah tamat al-Quran. Apa kiranya al-Quran itu dibaca setahun, atau berbulan-bulan sebelum berkahwin dan barulah di adakan majlis tersebut. Dan itulah yang terbaik sebenarnya.
  • Di bulan Ramadhan, kita dituntut supaya membaca al-Quran, malah banyak program yang berkaitan dengan tilawah dan tadarus dilakukan di surau dan juga masjid. Agak mendukacitakan juga mutakhir ini, akibat kurangnya minat di kalangan generasi muda untuk membaca al-Quran setelah selesai berterawih, tinggallah ianya di baca oleh golongan yang tua, bahkan di sesetengah tempat, ianya tidak dilakukan akibat dari kurangnya bilangan ahli yang ingin bersama-sama bertadarus secara berjemaah. Namun demi untuk mengadakan majlis “Tamat al-Quran” dan berbuka puasa di masjid, diadakan juga majlis yang saya istilahkan sebagai “Khatam Express”. Di mana setiap juzuk al-Quran dibahagikan kepada 30 orang, dan setiap orang membacanya mengikut juzuk yang telah ditetapkan. Mungkin secara umumnya kelihatan seperti tidak menjadi apa-apa masalah kerana dilitup oleh perkataan 30 juzuk bacaan juga. Namun persoalannya, adakah boleh kita istilahkannya sebagai majlis khatam al-Quran, sedangkan bacaannya tidak sama antara satu sama lain?!… Mungkin juzuk 30 telah habis dibaca oleh orang yang baik bacaannya, dan juzuk 1 atau sebelumnya belum lagi habis lantaran si pembaca itu tergagap-gagap dan terpegun-pegun!… Sedangkan juga, salah satu dari adab bacaan al-Quran adalah membacanya mengikut tertib dan susunan!… Amat mengecewakan juga sehingga ada kedengaran kata-kata, apa perlu susah paksa orang bertadarus, hari 17 atau 27 nanti, buat sahaja khatam 30 orang sekaligus!…

Fenomena ini dikhuatiri akan difahami dan didefinasikan oleh masyarakat kita pada masa akan datang sebagai satu konsep dan pengamalan yang dilakukan juga oleh golongan terdahulu, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kadangkala kita seperti terlalu suka untuk mengejar dan mendapat sesuatu dengan segera, sehinggakan adab, konsep dan perkara yang berkaitan dengan agama pun turut menjadi mangsa…

Satu contoh yang baik tentang amalan tadarus dan khatam al-Quran adalah seperti yang disiarkan di kaca televisyen di bulan Ramadhan, ianya dibaca secara berjemaah, masing-masing bergilir-gilir dan mendengar bacaan, disemak dan ditegur serta diperbetulkan kesalahan.

Dengan niat untuk tidak mengecam dan menyalahkan sesiapa, saya hanya mengutarakan tentang betapa penghayatan terhadapnya kelihatan seperti telah dipermudah dan disalahertikan.

Bacalah sekurang-kurangnya 2 atau 3 helai sehari, bersendirian atau berpasangan, kita akan dapat menghatamkannya 2 kali atau lebih dalam setahun. Dan membaca secara bersambung-sambung dari awal sehingga akhir adalah lebih baik dari mengamalkan surah-surah yang tertentu sahaja. Kita perlu fahami dan mengerti akannya.

Insya Allah akan bersambung pada artikel akan datang.

6 Responses to “Khatam al-Quran (2)”

  1. rezwanrazali says:

    Pertama sekali “Congratulation!!!”. Satu peringatan yang bagus. Semoga apa yang diutarakan akan membuka mata dan kesedaran kita semua tentang apa yang berlaku dalam masyarakat. Walaupun ianya bukan isu besar tetapi harus diingatkan sekarang agar generasi yang akan datang tidak ‘terseliuh @ terpesong’ dengan apa yang disebut khatam Al-Qur’an. Walaupun ‘an-nadir kal ma’dum’ tetapi kalau tak diingatkan takut2 satu hari kelak akan menjadi barah. Syabas. Teruskan usaha. :wink:

  2. salam,
    saya baru saja masuk web ustaz,masyaAllah…mubarak ustaz!
    cuma saya nk kongsikan di sini bersama para pembaca sekelian,bahawa saya masih tidak lupa pesanan ustaz suatu masa dulu supaya jadikan al-Quran seperti kekasih kita..macam mana nak berkasih?kalau kekasih,ditinggal akan merajuk…begitu juga al-Quran..terima kasih ustaz..jazakallahu khairan fe ddunya wal aakherah.

  3. admin says:

    begitulah yang sepatutnya ada di dalam diri kita… Ustaz harapkan semua student Ustaz masih lagi maintain dan menjaga hafazan seperti waktu belajar dahulu… semoga kita semua sentiasa dijauhkan dari kesibukan dan kelalaian dunia…

  4. Khan says:

    Assalamu’alaikum wr wb,

    Ustaz yang dihormati, semoga sentiasa berada di dalam keadaan sihat sentiasa, in syaa’ Allah.

    Saya ialah seorang yang gemar membaca dan mengkaji. Memandangkan kandungan Khatam al-Quran ini sangat baik, saya ingin tahu, apakah buku-buku rujukan Ustaz di dalam menulisnya?

    Diharap Ustaz dapat menggongsinya bersama kami.

    Sekian.
    Syukran.
    Wassalaamu’alaikum wr wb.

  5. admin says:

    dalam penulisan saya di blog ini, saya banyak ambil dari pengalaman semasa belajar, dari guru dan juga dari buku-buku, adapun tentang khatam al-Quran ini, rujukannya boleh di ambil dari al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, karangan imam al-Nawawi dan juga beberapa rujukan dari buku Ulum al-Quran… yang penting sekali dalam menggarap sesuatu, pemahaman kita tentang sesuatu konsep ditambah dengan penguasaan kita di dalam disiplin yang kita pelajari… tq di atas respon…

  6. ruziah says:

    saya nak tahu bacaan yang bermula ad-dhuha semasa majlis khatam, bagaimana nak mulakan tu. saya pernah ada dalam majlis khatam quran, tapi tak ingat, mulakan dengan bacaan apa, dan baca surah Ad=dhuha diselangkan dengan apa, dan teruskan baca surah hingga annas, akhirnya doa khatam, saya nak tahun kaedah khatam quran dari awal hingga akhir

Leave a Reply

logo
logo
Powered by Pakej Blog Wordpress | In Collaboration With KomenEbook.com