Sewaktu hadir di masjid menunaikan solat jumaat di salah sebuah masjid di Dungun siang tadi, tiba giliran bilal untuk memulakan bacaan dan azan, ketika itu saya berada di tengah-tengah ruangan masjid… Sewaktu membaca ayat 56 al-Ahzab, tiba-tiba bacaan bilal terhenti pada kalimah على النّبىّ, mungkin beliau terlupa pada fikiran saya… kemudian beliau mengulangi kembali, tiba-tiba terhenti lagi… Pada waktu itu saya sudah rasakan yang beliau benar-benar terlupa… Peluh, gelabah, gementar sudah kelihatan pada raut wajahnya… Beliau mengulangi kembali bacaannya, dan dari perlakuannya saya rasakan beliau mengharapkan bantuan dari rakan-rakan makmum yang berada di hadapannya… Namun malang sekali, tiba juga pada tempat yang sama, beliau masih belum ‘nampak’ ayat selepasnya iaitu يأيها الذين ءامنوا, dan apa lebih malang lagi, tiada kedengaran seorang pun dari makmum di hadapannya membantunya… Sedangkan pada waktu itu, rakan bilal lain yang tidak bertugas, imam yang bertugas sendiri, dan makmum-makmum yang bertaraf pak imam pun berada di dalam saf hadapan!… Tinggallah sang bilal itu seorang diri terkapai-kapai mencari-cari sambungan ayat selepasnya sehinggalah beliau terus kabur dan senyap, lantas sahaja mengalunkan azan dalam keadaan gementar dan malu (pada perasaan saya)…
Manusia adalah makhluk Allah s.w.t. yang senantiasa terdedah dan berada dalam kealpaan. Apatah lagi bila berada di hadapan khalayak manusia, memberikan ucapan, tazkirah, membaca al-Quran, azan dan sebagainya. Dan sudah menjadi tugas sesama manusia juga untuk memperbaiki apa yang kurang antara satu sama lain… Dalam kejadian seperti bilal tadi, saya semakin yakin, bahawa beginilah sikap orang melayu kita, suka membiarkan sahaja orang lain berada dalam kesalahan ataupun kesusahan… Atau juga malu untuk menegur!…(malu tidak bertempat)…
Peristiwa sedemikian bukanlah kali pertama berlaku di hadapan saya, dan mungkin juga pernah berlaku di hadapan anda juga. Jarang sekali ada yang berani membantu atau menegur… Pernah juga berlaku sewaktu kita menjadi makmum, kadang-kadang imam terlupa sesuatu ayat… Apa yang biasa terjadi, si imam berterusan mengulang-ulang bacaan dengan harapan akan terlihat ayat yang terlupa ataupun senyap seketika memohon bantuan makmum… Tetapi apa yang berlaku, tinggallah juga si imam dengan dirinya sendiri, terkapai-kapai, senyap dan akhirnya terus ruku’… Ingatlah wahai makmum sekelian, bahawa kita menjadikan dia imam kepada kita, melakukan ibadah secara berjemaah, dan sudah menjadi sifat seseorang imam, beliau akan sepenuh hati dan perasaan membawa kita melakukan ibadah, sedaya upaya memusatkan perhatian, mudah-mudahan diterima oleh-Nya. Dan mungkin dengan keadaan tersebut, akan banyak memberikan kesan kepada dirinya, lantaran mungkin juga akan membawa kepada kelupaan pada sesuatu ayat di dalam bacaannya… Menjadi tugas kita sebagai makmum membantu imam selaku ketua yang membawa haluan, agar tidak tersasar dan menggagalkan pengibadatan kita kepada-Nya… Tapi nampaknya kita juga sudah tidak faham lagi pada konsep berjemaah!…
Peristiwa tadi juga membuatkan saya benar-benar kasihan dan bersimpati pada si bilal tersebut, dan benar-benar kecewa terhadap jemaah lain yang berada di saf hadapan… Kita sudah semakin mementingkan diri sendiri. Di dalam kehidupan bersosial, masyarakat kita sudah banyak yang membawa hal diri dan keluarga masing-masing… Kini berlaku pula dalam kehidupan beribadah…
Kita manusia perlu bekerjasama, memahami apa itu kehidupan dan pengabdian… Dan kita mempunyai pilihan… tegur, bantu atau biarkan sahaja, itu bukan masalah aku!…
Salam ustaz.perkara ni dah biasa berlaku.memang susah, terutamanya dalam bab amar maaruf nahi mungkar.Bermula dari solat berjamah kita dah boleh nampak..kerana itulah masyarakat sekarang kebanyakannya haru-biru..Mungkin yang berada saf depan tu pun tak ingat ayat yang seterusnya kot?
mustahil rasanya kalau tak ingat… dah biasa sangat dan memang ayat yang wajib dibacakan pada khutbah kedua, tahlil dsb… tinggal lagi pada Ustaz, persoalan sikap yang ada dalam diri masing-masing…
Saya setuju bila sifat pentingkan diri yang disebut ustaz. Dari penelitian saya pula Allah selalunya menguji insan yang berlatar belakangkan agama ini dengan sifat pentingkan diri. Dan saya sendiri sedih bila golongan yang bertitle agama inilah yang amat mementingkan diri sendiri sehingga menzalimi orang lain. Tanpa kesedaran orang seumpama ini yang merosakkan agama dari dalam.